Selasa, 7 Mei 2013


TAJUK : ADAT TRADISI KAUM MURUT, DI KENINGAU ,SABAH
TAJUK KHUSUS : Sejarah Adat Tradisi Kaum Murut
PENGENALAN
Kaum Murut menetap di pedalaman dan kawasan tenggara Sabah dan merupakan kaum yang ketiga terbesar di Sabah. Salah satu etnik yang ada di negeri Sabah adalah suku kaum Murut yang kaya dengan budayanya. Mereka biasanya tinggal di daerah Tenom, Pensiangan dan Keningau. Kaum Murut juga terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagol, Tidung, Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan, dan Murut Serundung. Dimana Kaum Murut mewakili sebanyak 2.9% daripada penduduk di Sabah iaitu lebih kurang 50,000 orang. Suku kaum Murut juga terdapat di Brunei, Sarawak dan sempadan Kalimantan. Kaum Murut mempunyai bahasa tersendiri yang berbeza dengan suku kaum Murut yang lain. Secara uniknya, kaum Murut tinggal di rumah tradisi mereka iaitu rumah panjang dan hidup harmoni dalam keluarga yang besar yang berhampiran dengan kawasan sungai. Mereka tinggal di dalam rumah panjang yang menempatkan 10 hingga 20 keluarga. Suku kaum Murut juga dikenali melalui budaya dan kesenian yang telah mereka warisi turun-temurun. Misalnya, suku kaum Murut amat terkenal dengan motif dan pakaian tradisinya. Selain itu, kaum Murut pakar dalam berburu dan masih mengamalkan tradisi bertatu seperti kaum Iban di Sarawak tetapi tradisi ini semakin kurang di lakukan oleh generasi muda suku kaum ini. Kebanyakan kaum Murut ialah petani, pemburu, dan penangkap ikan di sungai. Selain itu , mereka juga menjalankan pemungutan hasil hutan seperti rotan, damar dan madu lebah . Adat upacara perkahwinan bagi kaum Murut juga sangat unik dan menjadi adat turun-temurun dalam perkahwinan iaitu adat ‘barian sampai mati’.  Selain daripada itu, dahulu mereka mempercayai amalan anismisme iaitu setiap pokok, batu, sungai dan bukit mempunyai roh sendiri. Kini, kebanyakan suku kaum Murut majoritinya beragama kristian. Kaum Murut meraihkan Perayaan Pesta Kalimaran. Pesta Kalimaran ialah pesta sama seperti kaum KadazanDusun yang menyambut Pesta Kaamatan. Ia disambut selepas mereka menuai padi. Sehubungan itu, suku kaum Murut juga terkenal dengan tarian tradisional iaitu Tarian Lansaran dan Tarian Mangunatip.
2.0              OBJEKTIF
2.1       Tujuan utama penulisan dibentuk ialah untuk mengetahui asal usul adat tradisi kaum Murut di Keningau, Sabah. Asal usul ini dikaji kerana ingin mendedahkan kepada masyarakat bahawa adat tradisi ini amat penting untuk dipelihara.
2.2       Selain itu, kajian ini juga dibuat untuk mendedahkan adat tradisi kaum Murut yang ada dan masih diamalkan sehingga sekarang. Antara adat tradisi yang masih diamalkan sehingga sekarang ialah pakaian tradisional, tarian tradisional, perayaan dan adat perkahwinan.
2.3       Kajian ini dibuat bagi menyedarkan masyarakat pada zaman sekarang tentang pentingnya memelihara adat tradisi yang telah lama diamalkan sejak turun-temurun lagi. Ini bertujuan supaya semua lapisan masyarakat dan generasi akan datang kaum Murut mengamalkan adat tradisi walaupun kebanyakan kaum Murut masa kini telah menganut agama kristian.

3.0              PERMASALAHAN KAJIAN
Penulis berminat untuk mengetahui pengamalan adat tradisi kaum Murut di Keningau tetapi pengamalan adat tradisi ini kurang diamalkan oleh kaum muda Murut sekarang. Hanya terdapat segelintir daripada masyarakat Murut yang masih menerapkan adat tradisi dalam keluarga mereka. Selain itu, maklumat mengenai adat tradisi kaum Murut sukar diperolehi untuk dijadikan rujukan.
Permasalahan kajian adalah berkisar mengenai pengutipan, pemilihan, penyusunan, sumber dan penganalisaan bahan-bahan. Dari aspek pengumpulan sumber melalui laman sesawang, bahan-bahan maklumat mengenai adat tradisi kaum Murut di Keningau amat terhad.
Kerja-kerja penyusunan dan penganalisaan dalam penulisan esei ini juga menimbulkan masalah. Ini adalah disebabkan setiap perkara ini berkait rapat antara satu sama lain. Penulis berharap esei ini dapat meenyumbangkan kepada kajian sejarah Malaysia.



4.0              SKOP KAJIAN
Kajian ini akan difokuskan kepada adat tradisi kaum Murut di Keningau, Sabah. Amalan dan kehidupan yang diamalkan ini banyak memberi kesan kepada masyarakat muda kaum Murut pada saat ini. Seterusnya, kita akan mendalami tentang perayaan yang disambut oleh kaum Murut di Keningau. Selain itu, mengetahui cara pengendalian adat perkahwinan tradisional sehingga moden oleh kaum Murut di Keningau. Kajian ini juga dijalankan untuk mengetahui perbezaan antara pakaian tradisional lelaki dan perempuan kaum Murut serta tarian tradisional kaum Murut. Bahkan, kajian terakhir akan menyatakan berkenaan agama dan kepercayaan yang dianuti oleh kaum Murut di Keningau dari dulu hingga sekarang.

5.0              SOROTAN KAJIAN LEPAS
5.1          Kajian lepas yang digunakan oleh penulis dapat memberi sedikit gambaran adat tradisi bagi suku kaum Murut. Menyentuh sejarah kemunculan masyarakat Murut di Sabah, T.R. Williams dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) berpendapat kira-kira 15,000 hingga 20,000 tahun dahulu telah berlaku penghijrahan penduduk dari bahagian selatan Negara China ke Asia Tenggara dan kawasan-kawasan pesisirnya, termasuklah ke Pulau Borneo. Antara mereka yang berpindah dari benua Asia ini (sejak tahun-tahun 1500 hingga 1000 S. M lagi) terdiri daripada kumpulan etnik yang pada hari ini disebut “Dusun” dan “Murut”. Berdasarkan fakta inilah kelompok Dusun dan Murut dikatakan dua kelompok yang paling awal berada di Sabah. Collins dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) mengatakan bahawa kelompok ini secara umumnya disebut Melayu-Proto yang mengamalkan bahasa rumpun Austronesia. Mereka terdapat di kawasan pedalaman kerana pada tahun 1880-an dikatakan penduduk di bandar Sandakan, Lahat Datu, Semporna dan Tawau tidak lagi terdiri daripada penduduk peribumi Sabah.
5.2          Manakala Headly dalam Ismail Yusoff (1997: 28), mengatakan bahawa perkataan ‘Murut’ di Sabah merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di pedalaman yang mempunyai hubungan rapat dengan suku kaum Dusun. Seperti orang Dusun, nama orang Murut bukan diperoleh sendiri oleh masyarakat tersebut, tetapi diberikan oleh pendatang dari luar. Berbanding dengan orang Dusun, keadaan fizikal orang Murut adalah lebih kecil dan pendek. Barangkali kerana inilah ramai pengkaji beranggapan bahawa mereka ini berasal dari Annam, Ulu Burma atau Formosa. Namun, bukti ini tidak kukuh disebabkan hanya andaian dari pengkaji sahaja berdasarkan kepada bentuk fizikal orang Murut dan orang Dusun yang menyerupai bentuk fizikal Anam, Ulu Burma atau Formosa.
5.3          Mengikut Pollard dalam Ismail Yusoff (1997: 28)  istilah ‘Murut’ berasal dari akar kata ‘purut’ iaitu ‘berian’ atau ‘hantaran mas kahwin’. Ada juga pengkaji berpendapat istilah ini diperoleh dari ‘burut’ iaitu sejenis tumbuh-tumbuhan berubi yang digemari oleh orang Murut. Sebelum nama ini menjadi popular kaum Murut dikenali dengan berbagai nama yang dikaitkan dengan alam sekeliling di mana mereka berorentasi. Prentice dalam Ismail Yusoff (1997: 28)  misalnya menamakan mereka ini ‘hill people’ kerana mereka tinggal di bukit-bukau. Sementara Whelan dalam Ismail Yusoff (1997: 28)  pula menamakan mereka ‘man of wood’ kerana lokasi perkampungan mereka di hutan rimba.
5.4          Menurut Ismail Ibrahim dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 69), beliau mengasingkan kawasan petempatan masyarakat Murut mengikut subetnik kepada dua golongan iaitu Murut dataran tanah rendah dan Murut dataran tanah tinggi.  Murut dataran tanah rendah terdiri daripada Murut Nabai dan Murut Timugon yang mendiami tanah rata Keningau. Manakala Murut tanah tinggi pula adalah golongan yang terbesar mendiami kawasan tanah tinggi di Sabah. Golongan ini dipecahkan kepada beberapa kumpulan besar. Pertama, Murut Paluan tinggal di kawasan tanah tinggi berhampiran Sungai Padas di Tenom, berkembang ke Sungai Dalit di sempadan Sook dan berkembang ke barat berhampiran Sipitang. Kedua, Murut Dalit yang juga dipanggil “orang bukit” menduduki kawasan Dalit dan Sook dan berkembang di sepanjang Sungai Penawan. Ketiga, Murut Rundum yang menduduki kawasan persekitaran Sungai Tagul dan berkembang ke utara Rundum. Keempat, Murut Tahol yang berpindah dari persekitaran Sungai Tagul dan menduduki kawasan Bole, Kemabong, Tenom dan Tomani. Kelima, Murut Kolod di kawasan Bole. Keenam, Murut Sapulut menduduki kawasan tanah tinggi selatan Sook hingga ke Sungai Sepulut dan Murut Pensiangan (Lagungan) yang menduduki kawasan Sapulut, berkembang hingga ke sempadan dan tenggara Serudong dan Sungai Kalabakan. Sebenarnya Murut Sapulut adalah dikenali sebagai Murut Tagal.
5.5          Selain itu, menurut Cliff Akid Kamijan dalam majalah Dewan Bahasa (2006: 30) Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai rakyat pelbagai bangsa, budaya, agama dan kepercayaan. Menurut Owen Rutter dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) menjelaskan bahawa pengkategorian etnik yang utama di Sabah ialah tertumpu kepada kaum Dusun, Murut, Bajau, Iranun, Suluk, Bisaya dan Melayu Brunei. Setiap kumpulan etnik ini mempunyai adat resam, kebudayaan dan amalan kepercayaan yang berbeza-beza. Mereka terdiri daripada penduduk peribumi bukan Islam dan peribumi Islam. Kumpulan etnik Dusun, Murut dan Rungus kebanyakannya bukan beragama Islam. Setiap kumpulan etnik, khususnya Dusun dan Murut mempunyai subkumpulan etnik masing-masing. Manakala, kumpulan etnik Idahan, Bajau, Iranun, Sulu, Bisaya, Melayu-Brunei, Orang Sungai dan Tidong pada keseluruhannya beragama Islam. Walaubagaimanapun, terdapat penulis lain yang mengklasifikasikan masyarakat Murut kepada beberapa subetnik. Misalnya, Lita Lasimbung dan Stella Moo-Tan (1997: 45) telah membahagikan Murut kepada subkumpulan iaitu Baukan, Gana, Kalabakan, Okolod, Paluan, Selungai, Serudung, Tagal, Timugon, Murut Beaufort dan Murut Keningau. Mereka juga mengatakan bahawa pada tahun 1977, jumlah masyarakat Murut di Sabah dianggarkan sebanyak 40,000 orang.


6.0              KAEDAH KAJIAN
Kaedah kajian ialah kaedah penyelidikan perpustakaan. Penekanan akan diberikan kepada ketepatan penghuraian fakta dengan menggunakan sumber primer dan sumber sekunder. Pendekatan yang digunakan ialah membuat penerangan mengenai perkembangan yang berlaku dalam pengamalan adat tradisi dalam kalangan generasi awal dan generasi muda kaum Murut sekarang.
7.0              PEMBAHAGIAN STRUKTUR ESEI
7.1              Pengenalan
7.2              Sejarah Adat Tradisi Kaum Murut di Keningau, Sabah
7.3              Objektif pengamalan Adat Tradisi Kaum Murut di Keningau, Sabah
7.4              Kepentingan pengamalan adat tradisi Kaum Murut sejak turun-temurun.
7.5              Penutup
8.0              BIBILIOGRAFI
9.0              LAMPIRAN

PENGENALAN
Kaum Murut menetap di pedalaman dan kawasan tenggara Sabah dan merupakan kaum yang ketiga terbesar di Sabah. Salah satu etnik yang ada di negeri Sabah adalah suku kaum Murut yang kaya dengan budayanya. Mereka biasanya tinggal di daerah Tenom, Pensiangan dan Keningau. Kaum Murut juga terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagol, Tidung, Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan, dan Murut Serundung. Dimana Kaum Murut mewakili sebanyak 2.9% daripada penduduk di Sabah iaitu lebih kurang 50,000 orang. Suku kaum Murut juga terdapat di Brunei, Sarawak dan sempadan Kalimantan. Kaum Murut mempunyai bahasa tersendiri yang berbeza dengan suku kaum Murut yang lain. Secara uniknya, kaum Murut tinggal di rumah tradisi mereka iaitu rumah panjang dan hidup harmoni dalam keluarga yang besar yang berhampiran dengan kawasan sungai. Mereka tinggal di dalam rumah panjang yang menempatkan 10 hingga 20 keluarga[1]. Suku kaum Murut juga dikenali melalui budaya dan kesenian yang telah mereka warisi turun-temurun. Misalnya, suku kaum Murut amat terkenal dengan motif dan pakaian tradisinya. Selain itu, kaum Murut pakar dalam berburu dan masih mengamalkan tradisi bertatu seperti kaum Iban di Sarawak tetapi tradisi ini semakin kurang di lakukan oleh generasi muda suku kaum ini. Kebanyakan kaum Murut ialah petani, pemburu, dan penangkap ikan di sungai. Selain itu, mereka juga menjalankan pemungutan hasil hutan seperti rotan, damar dan madu lebah . Adat upacara perkahwinan bagi kaum Murut juga sangat unik dan menjadi adat turun-temurun dalam perkahwinan iaitu adat ‘barian sampai mati’.  Selain daripada itu, dahulu mereka mempercayai amalan anismisme iaitu setiap pokok, batu, sungai dan bukit mempunyai roh sendiri. Kini, kebanyakan suku kaum Murut majoritinya beragama kristian. Kaum Murut meraihkan Perayaan Pesta Kalimaran. Pesta Kalimaran ialah pesta sama seperti kaum KadazanDusun yang menyambut Pesta Kaamatan. Ia disambut selepas mereka menuai padi. Sehubungan itu, suku kaum Murut juga terkenal dengan tarian tradisional iaitu Tarian Lansaran dan Tarian Mangunatip.
Menurut rekod penjajah, bangsa Lun Bawang adalah bangsa asal Murut dan gunung Murut yang terdapat di Sarawak adalah bukti bahawa bangsa Murut adalah berasal dari suku Lun Bawang. Bahasa mereka hampir serupa dan budaya mengenakan pakaian daripada kulit kayu dan tidak berseluar panjang menambahkan lagi keyakinan bahawa bangsa Murut adalah juga berasal dari Lun Bawang. Selain itu, bangsa Murut terdapat di Keningau, Tenom, Sook, Nabawan dan Pensiangan[2].

SEJARAH ADAT TRADISI KAUM MURUT DI KENINGAU, SABAH
Agama dan Kepercayaan
Tradisi kaum Murut merupakan antara yang teristimewa di Sabah dan amat terkenal. Kebanyakkan daripada orang-orang suku kaum ini telah meninggalkan tradisi atau adat mereka kecuali segelintir daripada warga tua sahaja.
            Masyarakat Murut mempercayai animisme. Mereka menggangap setiap benda dalam alam seperti batu, pokok, dan sungai mempunyai semangat yang mampu mempengaruhi kehidupan mereka. Semangat ini perlu dipuja supaya mereka dapat hidup dalam aman sejahtera. Gunung Antulai iaitu Gunung Aru atau Gunung Hantu dianggap sebagai tempat suci.
Masyarakat Murut mempercayai Aki Kopuno sebagai kuasa yang mencipta segala-gala dalam dunia ini. Bagi masyarakat Murut, bomoh mereka boleh berhubung dengan kuasa ghaib yang dipanggil “Babalian”[3].
Adat Perkahwinan Kaum Murut
            Adat yang diwarisi daripada zaman nenek moyang menjadi ikutan sehingga hari ini, misalnya adat perkahwinan, adat kematian, adat “Tina’uh” dan adat “Barian Sampai Mati”. Adat “Barian Sampai Mati” merupakan adat sangat popular dan sinonim dengan masyarakat Murut Tagal di negeri Sabah. Adat ini diamalkan oleh Murut Tagol di kawasan pedalaman Sabah khususnya di Daerah Pensiangan, Daerah Keningau, Daerah Sepulut dan Daerah Nabawan.
            Dalam pengertian adat “Barian Sampai Mati” ialah Barian atau dalam bahasa Melayu “Mas Kahwin” dan dalam bahasa Inggeris “Dowry”. Barian ialah nama yang diberi oleh masyarakat Murut bagi menunjukkan mas kahwin ataupun barang-barang hantaran daripada keluarga pihak lelaki kepada keluarga pihak perempuan semasa perkahwinan berlangsung. Oleh demikian, “Barian Sampai Mati” bermaksud mas kahwin atau barang-barang hantaran yang dituntut atau diminta oleh keluarga pihak perempuan daripada keluarga pihak lelaki bermula dari perkahwinan sehingga ke akhir hayat.
            Adat “Barian Sampai Mati” sudah lama diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi oleh masyarakat Murut di Sabah. Apabila gadis Murut dikahwini oleh lelak pilihan keluarga atau pilihan sendiri, barian akan terus ditagih oleh keluarga pihak perempuan sehingga ke akhir hayat. Meskipun sudah beranak pinak dan umur sudah menjangkau 30 hingga 90 tahun, tetapi keluarga pihak perempuan masih meminta barian daripada pihak lelaki. Masyarakat Dusun dan masyarakat lain di Sabah mengatakan bahawa gadis Murut yang dikahwini memiliki barian atau hantaran mas kahwin yang sangat mahal berbanding suku kaum lain di Malaysia.
            Adat “Barian Sampai Mati” dapat dilihat apabila keluarga sebelah pihak perempuan menghadapi masalah seperti ada kematian, saudara mara berkahwin, menghadiri perkahwinan dan menghadiri “Tinauh”. Keluarga sebelah pihak lelaki mahupun suami gadis yang dikahwini turut dilibatkan sama dalam kesusahan tersebut. Pihak suami mesti mambantu keluarga sebelah pihak perempuan dengan memberi mana-mana barang seperti tajau, kain sarung, emas, gong, kain nila, sisitan, duit dan sebagainya untuk diberi kepada keluarga pihak perempuan yang meminta bantuan. Selain ibubapa perempuan yang dikahwini meminta pertolongan, keluarga yang lain juga turut melakukan hal yang sama kepada pihak lelaki. Adat ini amat membebankan masyarakat Murut tetapi memandangkan adat ini sudah lama diamalkan, maka adat ini terus menjadi amalan tradisi masyarakat Murut.
            Seterusnya, “Barian Sampai Mati” juga dapat dilihat apabila keluarga pihak perempuan pergi mengunjungi rumah pihak lelaki selepas kahwin, keluarga pihak perempuan akan meminta apa saja yang disukai dan dijumpai oleh mata mereka dalam rumah menantu lelaki. Pada masa itu juga, keluarga pihak perempuan akan terus mengambil benda atau barang tersebut, misalnya televisyen, peti sejuk, tajau, gong, kain sarung, emas, basikal dan apa sahaja yang ditemui ketika berada di rumah pihak lelaki. Pihak lelaki pula tidak berbuat apa-apa dan membenarkan saja permintaan keluarga pihak perempuan sebagai tanda hormat kepada bapa dan mak mertuanya.
            Untuk memiliki gadis Murut, pihak lelaki terpaksa menanggung beberapa risiko tinggi untuk memenuhi tuntutan barian daripada keluarga pihak perempuan. Keluarga pihak perempuan berhak menuntut barian apa-apa sahaja pada bila-bila masa. Pihak lelaki pula terpaksa menurut permintaan daripada keluarga perempuan untuk menjaga maruah keluarga. Berikut merupakan beberapa cara pihak perempuan menuntut barian daripada pihak lelaki[4].
            Kini, adat “Barian Sampai Mati” dalam suku Kaum Murut Tagol atau Tahol tidak diamalkan lagi sehingga sekarang[5].
Pakaian Tradisional Kaum Murut
            Penggunaan pakaian tradisional kaum Murut boleh dilihat dari dua sudut zaman iaitu zaman klasik dan zaman moden. Di zaman klasik, pakaian-pakaian tradisional ini dipakai semasa upacara-upacara ritual, hari perkahwinan dan sebagai pakaian seharian. Di zaman moden pula, pakaian-pakaian tradisional ini hanya dipakai untuk tujuan yang tertentu seperti di hari perkahwinan serta untuk acara-acara kebudayaan. Selain daripada itu, kadangkala juga pakaian tradisional boleh dipakai pengapit pengantin.
            Sehubungan itu, kebanyakan suku kaum di Sabah memilih hitam sebagai warna pakaian tradisional mereka. Penggunaan warna hitam asalnya daripada kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang mana dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Ada juga sesetengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semulajadi di waktu itu. Manakala, bagi kaum lelaki pula, pakaiannya lebih kepada kulit kayu[6].
Pakaian tradisional kaum Murut bagi lelaki ialah dikenali dengan pakaian puputul yang diperbuat daripada kulit kayu. Babaru puputul dipotong mengikut kepanjangan fesyen jaket. Aba puputul pula, cawat sepanjang dua meter diperbuat daripada isi kayu. Tupi sinulatan ialah perhiasan kepala yang diperbuat daripada kulit kayu[7].
                                                 Pakaian Tradisional Kaum Murut.

Manakala, pakaian tradisional kaum Murut bagi perempuan ialah pakaian mereka lebih terkenal dengan pakaian pinongkolo iaitu baju dan gaun yang panjang berwarna hitam yang dihiasi dengan manik-manik. Antara contoh lain bagi pakaian wanita untuk kaum Murut ialah pipirot, salupai, sinikot, rarangkol dan holong[8].
                                        Pakaian tradisional kaum Murut bagi perempuan
Tarian Tradisional Kaum Murut
            Masyarakat kaum Murut juga terkenal dengan “Tarian Lansaran” dan “Tarian Mangunatip” yang penuh tenaga. Kebanyakan upacara keramaian, tarian-tarian ini lazim ditarikan kerana muziknya rancak serta bersimbolik. Semasa pesta menuai diadakan, penari-penari kaum Murut ini akan membuat persembahan di Bandar-bandar sehingga menjadi suatu daya tarikan kepada para pelancong dalam dan luar Negara. Walaupun terdapat sedikit sebanyak unsur tarian ini telah diubah namun makna serta gaya tariannya masih tidak terjejas. Tarian Mangunatip misalnya mempamerkan unsur kegagahan yang ada dalam kaum Murut serta bertujuan untuk memujuk roh-roh nenek moyang mereka agar dapat menjaga mereka. Penari-penari tarian ini menyelitkan gugusan padi yang sudah dituai dan juga kepala mangsa pada pinggang mereka.
            Gaya tarian Mangunatip ini amat unik serta mempesonakan dimana lelaki yang memegang parang akan melompat ke atas bambu yang disusun selang-seli oleh penari-penari lelaki lain. Selepas itu, penari yang berada di atas itu akan dianggap sebagai seorang pemburu yang menggunakan penyumpit iaitu buluh yang dimasukkan sejenis sumpit untuk memecahkan belon yang disediakan. Alunan muzik daripada gendang kulit serta somputon akan mengawal rentak tarian ini[9].
            Di samping itu, Tarian Mangunatip ini mempunyai keunikan tersendiri. Melalui nama tarian ini sudah menampakkan keunikan kerana mengekalkan identity suku kaum Murut. Perkataan “Mangunatip” diambil dalam bahasa Murut iaitu “apit” yang bermaksud “sepit” kerana tarian ini menggunakan buluh dan para penari memerlukan kepantasan dan kecekapan ketika menari.
            Oleh itu, setiap gerakan dalam sesuatu tarian mempunyai maksud tersirat. Tarian Mangunatip juga mempunyai makna disebalik sesuatu gerakan. Tarian yang lemah-gemalai membawa maksud kesopanan wanita dan pihak lelaki sebagai pelindung kepada wanita dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat ketika penari lelaki memegang parang dan perisai yang melambangkan sifat kepahlawanan kaum Murut sambil matanya liar berwaspada dan seolah-olah sedang bertarung dengan musuh. Ketika melalui buluh pula, penari lelaki dan wanita akan berpasang-pasangan sambil berpegangan tangan menari melalui buluh tersebut. Hal ini menerangkan bahawa walau apa jua cabaran dan rintangan yang melanda, kedua-dua pasangan khasnya dalam institusi perkahwinan, kedua-dua pihak hendaklah berganding bahu menyelesaikan masalah dalam rumahtangga[10].
Tarian Mangunatip Kaum Murut
            Tarian Lansaran pula merupakan tarian yang agak bertenaga dan memenatkan. Tarian ini diadakan untuk tujuan menyambut hasil padi yang baik, perkahwinan dan sebagai menyambut tetamu. Biasanya tarian Lansaran ditarikan sehingga dua hari lamanya secara beramai-ramai tidak kira tua atau muda. Para penari akan memijak lantai seolah-olah berspring seperti pada rajah dan selepas itu akan mempunyai rentak tersendiri. Tarian ini dapat mengeratkan perhubungan di antara kaum keluarga serta sahabat di samping menjadi suatu daya tarikan pelancong.
            Di samping itu, tarian lansaran ini juga boleh menjadi salah satu permainan tradisional bagi suku kaum Murut[11].
                                                            Tarian Lansaran kaum Murut
Adat Kematian Kaum Murut
Adat kematian dalam masyarakat Murut, mereka akan mengebumikan mayat. Mereka akan melakukan mengebumikan mayat bergantung kepada punca kematian seseorang itu. Sesuatu kes kematian perlu diuruskan dengan tertib dan baik dengan mengikuti adat-adat tertentu. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang bencana atau musibah. Terdapat tiga proses dalam pengebumian mayat dalam kaum Murut iaitu semasa kematian, pengebumian, dan selepas pengebumian. Semasa kematian, ahli keluarga si mati akan memukul gong dan ketika gong dipukul, semua penduduk perlu berhenti daripada melakukan aktiviti masing-masing. Jika terdapat penduduk tidak berhenti daripada melakukan pekerjaan semasa gong dipukulkan, seluruh penduduk akan didenda iaitu memberi seekor khinzir kepada ahli keluarga si mati. Selepas itu, mayat akan dimandikan dan setelah itu mayat akan dipakaikan dengan pakaian yang cantik serta bersih. Mayat akan berada di rumah selama dua hari sebelum dimasukkan ke dalam tajau iaitu bangkalan kaum Murut. Tajau akan ditutup dengan kayu dan di atasnya diletakkan lampu kecil bagi menakutkan hantu syaitan. Pada hari kedua, tajau akan dibawa keluar dari bilik tepat pukul 12.00 tengah malam dan ketika ini ahli keluarga akan bertangis-tangisan sambil mengelilingi tajau tersebut. Pada hari ketiga, kaum lelaki akan pergi ke tanah perkuburan untuk membaiki rumah perkuburan sekiranya terdapat kerosakkan. Pada malam keempat, mereka akan bersuka ria sebagai menghormati malam terakhir si mati berada dirumah. Keesokan harinya, tajau mayat akan diusung dengan menggunakan usungan kayu ke tanah perkuburan. Ketika ini, ahli keluarga perempuan si mati akan menangis kerana mereka percaya akan roh si mati akan selamat ke syurga dan bertujuan mengucap selamat jalan. Proses yang kedua iaitu semasa pengebumian gong akan dibunyikan sepanjang jalan tajau dihantar ke tapak pengebumian dan tajau tersebut akan dihias dengan manik-manik beraneka warna dan dipaku dengan kayu yang berukir. Ketika ini mereka akan meraikan majlis makan-makan. Seterusnya proses yang terakhir iaitu selepas pengebumian, ahli keluarga akan meletakkan tiga potongan bara setelah empat hari tajau di tanah perkuburan. Bara-bara tersebut akan dikawal apinya oleh keluarga si mati, supaya roh si mati tidak dapat meniup api tersebut kerana mereka percaya sekiranya si mati dapat meniup api sehingga menyala kemungkinan rumah tersebut ditimpa bencana. Adat tolak bala akan diadakan bagi menandakan pantang larang adat kematian sudah selesai[12].
Tajau tempat simpan mayat bagi suku kaum Murut.

          Tambahan pula, adat kematian Murut sudah tidak diamalkan pada zaman moden sekarang[13]. Pada zaman dulu, adat kematian suku kaum Murut akan berkabung selama sebulan dengan memakai baju hitam bagi keluarga atau saudara-saudara terdekat si mati[14]. Pada zaman sekarang, pemakaian baju hitam tidak diamalkan lagi malah kain digunting kecil dan diletakkan pada lengan kiri. Di samping itu, responden mengatakan bahawa keluarga si mati dan orang-orang kampung tidak boleh berhibur seperti menyanyi, menari dan sebagainya untuk menghormati keluarga si mati tetapi boleh mengadakan majlis perkahwinan tanpa hiburan. Selepas berkabung selama sebulan, kain hitam itu akan dibakar diikuti pukulan gong sebanyak tiga kali menandakan pantang larang sudah berakhir[15].
         Selain itu, responden juga mengatakan bahawa adat kematian suku kaum Murut sekiranya berlaku kematian si suami atau si isteri. Contohnya, jika si suami meninggal si isteri akan di masukkan ke dalam bilik, sepanjang keluarga yang lain menguruskan pengebumian mendiang. Kaum Murut memanggilnya “Nampalang” tujuannya adalah mengelak daripada bala kepada orang lain. Dalam perkabungan si balu akan berlanjutan selama satu hari dan satu malam. Dalam pantang larang tersebut orang yang sudah berkahwin tidak sama sekali dibenarkan mengunjungi si balu selama tempoh itu. Tujuan pantang larang tersebut adalah untuk mengelak bala supaya orang yang masih mempunyai pasangan hidup tidak mengikut seperti si balu. Sepanjang pantang larang tersebut hanya anak perempuan yang belum berkahwin ,begitu juga sebaliknya hanya dibenarkan masuk ke dalam bilik melayan si balu seperti memberi makan dan minum. Selepas acara pengebumian mendiang, si balu pula tidak boleh keluar rumah atau mengunjungi rumah jiran selama sebulan, hanya keluarga terdekat yang dibenarkan mengunjungi si balu untuk memberi keperluan harian seperti beras dan sebagainya[16].
Perayaan Tradisional Kaum Murut
            Hari Pesta Menuai dalam bahasa Murut ialah “Orou Napangaan Nanantab”. Walau bagaimanapun, nama sebenar perayaan selepas menuai bagi suku kaum Murut adalah “Mansisia”. Sebelum perayaan tersebut, setiap keluarga menyumbangkan beras hasil dari titik peluh mereka kepada Ketua Masyarakat iaitu penghulu untuk dimasak sama ada dibuat tapai atau nasi. Mereka juga menyumbangkan wang untuk membeli lauk-pauk semasa perayaan. Apabila hari Mansisia menjelang, semua penduduk kampung akan menghadiri jamuan makan dan minum di Tulus iaitu rumah panjang atau di rumah Penghulu jika kampung berkenaan tidak mempunyai “Tulus”.
            Acara rasmi dalam perayaan tersebut adalah minum tapai yang dipanggil “Pansisiaan”. Semua penduduk kampung dikehendaki minum tapai tersebut sebagai adat tradisi. Dalam perayaan Mansisia semua penduduk kampung dapat menikmati hasil tuaian setiap keluarga memandangkan beras yang disumbangkan sebelumnya dicampur-gaulkan sebelum dimasak.
            Tujuan perayaan Mansisia ini adalah sebagai hari kesyukuran dan bersukaria. Hari tersebut juga dianggap sebagai hari Kelepasan Am bagi para petani. Biasanya perayaan tersebut dilengkapi dengan beberapa acara yang menarik seperti persembahan kebudayaan, minum tapai dan bermacam-macam lagi yang sesuai dengan suasana sambutan perayaan “Mansisia”[17].
            Disamping itu, responden mengatakan perayaan tradisi suku kaum Murut iaitu “Orou Napangaan Nanantab” hampir sama dengan perayaan tradisi suku kaum Kadazan Dusun iaitu “Pesta Kaamatan”[18].
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, masyarakat Murut Sabah adalah masyarakat yang mempunyai cara hidup dan tradisi yang agak istimewa. Cara hidup mereka adalah amat menarik sekali untuk diungkapkan dan diceritakan. Kehidupan masyarakat Murut jika dilihat dari aspek sosial, ekonomi dan politik sesungguhnya amatlah berbeza dengan kaum-kaum lain di Malaysia ini.
Walaubagaimanapun, pada masa kini, adat dan tradisi masyarakat Murut banyak juga yang telah ditinggalkan. Antaranya adat-adat yang menjurus kepada animisme, kepercayaan karut, dan adat-adat yang difikirkan tidak logik untuk diamalkan pada masa sekarang. Hal ini memandangkan masyarakat pada zaman sekarang sudah maju dan pemikiran masyarakat pun berubah ke arah yang lebih moden. Tambahan pula, sudah ramai golongan cerdik pandai dalam kalangan masyarakat Murut yang membawa budaya dan cara hidup masyarakat bandar dan menerapkannya dalam kalangan masyarakat Murut.



[2] Besi_karusani, “Asal-usul Murut”, hlm 1, Aug 18, 2010,  http://sabahminda-kitani.forumotion.net/t23-asal-usul-murut
[3] Lee Sin Lian dan Aleeya Atiqah Ammar, Sejarah PMR (Johor Bharu: Pelangi, 2006), 118.

[4] Lianah binti Sikana, “Barian Sampai Mati Masyarakat Murut Tagal Daerah Sepulut, Sabah”, hlm 1, July 30, 2009,

[5] Betty Binti Juki (penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah),  ditemuramah oleh Shantyanna Fabian, Januari 2013
[6]Rachel Angelica, “Pakaian Tradisional Sabah (Suku Kaum Murut)”, hlm 1, Aug 22, 2008, http://misspinkk89.blogspot.com/2008/08/pakaiana-tradisional-sabah-suku-kaum.html
[7]Bm_ko3, “Pakaian Tradisional Kaum Murut”, hlm 1, Aug 21, 2010, http://budayapakaiandimalaysia.blogspot.com/2010/08/srchttph1_21.html
[8] ibid
[9] Tairin bin Juki (penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah), ditemuramah oleh Shantyanna Fabian, Januari 2013
[10] Miyoko, “Keunikan Tarian Mangunatip Tarian Suku Kaum Murut”, perenggan 1 dan 5, April 23, 2010, http://ruandupangkausan.blogspot.com/2010/04/keunikan-tarian-mangunatip-tarian-suku.html
[11] Bangak binti Tawas (penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah), interview by Shantyanna Fabian, Februari 2013
[12] Jelajah Edisi Daus Di, “Adat dan Budaya Etnik Di Malaysia (Kaum Murut)”, perenggan 4, September 17, 2010,  http://bmpengurusan2010.blogspot.com/2010/09/kaum-murut.html
[13] Juki bin Okoh (penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah), interview by Shantyanna Fabian, February 2013.
[14] Fabian bin Jacob (penduduk kampung Liau Laut di Keningau, Sabah), interview by Shantyanna Fabian, February 2013
[15] Aminah binti Anturadik (penduduk kampung Liau Laut di Keningau, Sabah), interview by Shantyanna Fabian, January 2013
[16] Jailin binti Juki (penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah),  interview by Shantyanna Fabian, January 2013
[17] Bangak binti Tawas (penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah), ditemuramah oleh Shantyanna Fabian, Februari 2013
[18] Jacob bin Kimbal (penduduk kampung Liau Laut di Keningau, Sabah), ditemuramah oleh Shantyanna Fabian, Februari 2013.