Selasa, 7 Mei 2013


TAJUK : ADAT TRADISI KAUM MURUT, DI KENINGAU ,SABAH
TAJUK KHUSUS : Sejarah Adat Tradisi Kaum Murut
PENGENALAN
Kaum Murut menetap di pedalaman dan kawasan tenggara Sabah dan merupakan kaum yang ketiga terbesar di Sabah. Salah satu etnik yang ada di negeri Sabah adalah suku kaum Murut yang kaya dengan budayanya. Mereka biasanya tinggal di daerah Tenom, Pensiangan dan Keningau. Kaum Murut juga terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagol, Tidung, Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan, dan Murut Serundung. Dimana Kaum Murut mewakili sebanyak 2.9% daripada penduduk di Sabah iaitu lebih kurang 50,000 orang. Suku kaum Murut juga terdapat di Brunei, Sarawak dan sempadan Kalimantan. Kaum Murut mempunyai bahasa tersendiri yang berbeza dengan suku kaum Murut yang lain. Secara uniknya, kaum Murut tinggal di rumah tradisi mereka iaitu rumah panjang dan hidup harmoni dalam keluarga yang besar yang berhampiran dengan kawasan sungai. Mereka tinggal di dalam rumah panjang yang menempatkan 10 hingga 20 keluarga. Suku kaum Murut juga dikenali melalui budaya dan kesenian yang telah mereka warisi turun-temurun. Misalnya, suku kaum Murut amat terkenal dengan motif dan pakaian tradisinya. Selain itu, kaum Murut pakar dalam berburu dan masih mengamalkan tradisi bertatu seperti kaum Iban di Sarawak tetapi tradisi ini semakin kurang di lakukan oleh generasi muda suku kaum ini. Kebanyakan kaum Murut ialah petani, pemburu, dan penangkap ikan di sungai. Selain itu , mereka juga menjalankan pemungutan hasil hutan seperti rotan, damar dan madu lebah . Adat upacara perkahwinan bagi kaum Murut juga sangat unik dan menjadi adat turun-temurun dalam perkahwinan iaitu adat ‘barian sampai mati’.  Selain daripada itu, dahulu mereka mempercayai amalan anismisme iaitu setiap pokok, batu, sungai dan bukit mempunyai roh sendiri. Kini, kebanyakan suku kaum Murut majoritinya beragama kristian. Kaum Murut meraihkan Perayaan Pesta Kalimaran. Pesta Kalimaran ialah pesta sama seperti kaum KadazanDusun yang menyambut Pesta Kaamatan. Ia disambut selepas mereka menuai padi. Sehubungan itu, suku kaum Murut juga terkenal dengan tarian tradisional iaitu Tarian Lansaran dan Tarian Mangunatip.
2.0              OBJEKTIF
2.1       Tujuan utama penulisan dibentuk ialah untuk mengetahui asal usul adat tradisi kaum Murut di Keningau, Sabah. Asal usul ini dikaji kerana ingin mendedahkan kepada masyarakat bahawa adat tradisi ini amat penting untuk dipelihara.
2.2       Selain itu, kajian ini juga dibuat untuk mendedahkan adat tradisi kaum Murut yang ada dan masih diamalkan sehingga sekarang. Antara adat tradisi yang masih diamalkan sehingga sekarang ialah pakaian tradisional, tarian tradisional, perayaan dan adat perkahwinan.
2.3       Kajian ini dibuat bagi menyedarkan masyarakat pada zaman sekarang tentang pentingnya memelihara adat tradisi yang telah lama diamalkan sejak turun-temurun lagi. Ini bertujuan supaya semua lapisan masyarakat dan generasi akan datang kaum Murut mengamalkan adat tradisi walaupun kebanyakan kaum Murut masa kini telah menganut agama kristian.

3.0              PERMASALAHAN KAJIAN
Penulis berminat untuk mengetahui pengamalan adat tradisi kaum Murut di Keningau tetapi pengamalan adat tradisi ini kurang diamalkan oleh kaum muda Murut sekarang. Hanya terdapat segelintir daripada masyarakat Murut yang masih menerapkan adat tradisi dalam keluarga mereka. Selain itu, maklumat mengenai adat tradisi kaum Murut sukar diperolehi untuk dijadikan rujukan.
Permasalahan kajian adalah berkisar mengenai pengutipan, pemilihan, penyusunan, sumber dan penganalisaan bahan-bahan. Dari aspek pengumpulan sumber melalui laman sesawang, bahan-bahan maklumat mengenai adat tradisi kaum Murut di Keningau amat terhad.
Kerja-kerja penyusunan dan penganalisaan dalam penulisan esei ini juga menimbulkan masalah. Ini adalah disebabkan setiap perkara ini berkait rapat antara satu sama lain. Penulis berharap esei ini dapat meenyumbangkan kepada kajian sejarah Malaysia.



4.0              SKOP KAJIAN
Kajian ini akan difokuskan kepada adat tradisi kaum Murut di Keningau, Sabah. Amalan dan kehidupan yang diamalkan ini banyak memberi kesan kepada masyarakat muda kaum Murut pada saat ini. Seterusnya, kita akan mendalami tentang perayaan yang disambut oleh kaum Murut di Keningau. Selain itu, mengetahui cara pengendalian adat perkahwinan tradisional sehingga moden oleh kaum Murut di Keningau. Kajian ini juga dijalankan untuk mengetahui perbezaan antara pakaian tradisional lelaki dan perempuan kaum Murut serta tarian tradisional kaum Murut. Bahkan, kajian terakhir akan menyatakan berkenaan agama dan kepercayaan yang dianuti oleh kaum Murut di Keningau dari dulu hingga sekarang.

5.0              SOROTAN KAJIAN LEPAS
5.1          Kajian lepas yang digunakan oleh penulis dapat memberi sedikit gambaran adat tradisi bagi suku kaum Murut. Menyentuh sejarah kemunculan masyarakat Murut di Sabah, T.R. Williams dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) berpendapat kira-kira 15,000 hingga 20,000 tahun dahulu telah berlaku penghijrahan penduduk dari bahagian selatan Negara China ke Asia Tenggara dan kawasan-kawasan pesisirnya, termasuklah ke Pulau Borneo. Antara mereka yang berpindah dari benua Asia ini (sejak tahun-tahun 1500 hingga 1000 S. M lagi) terdiri daripada kumpulan etnik yang pada hari ini disebut “Dusun” dan “Murut”. Berdasarkan fakta inilah kelompok Dusun dan Murut dikatakan dua kelompok yang paling awal berada di Sabah. Collins dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) mengatakan bahawa kelompok ini secara umumnya disebut Melayu-Proto yang mengamalkan bahasa rumpun Austronesia. Mereka terdapat di kawasan pedalaman kerana pada tahun 1880-an dikatakan penduduk di bandar Sandakan, Lahat Datu, Semporna dan Tawau tidak lagi terdiri daripada penduduk peribumi Sabah.
5.2          Manakala Headly dalam Ismail Yusoff (1997: 28), mengatakan bahawa perkataan ‘Murut’ di Sabah merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di pedalaman yang mempunyai hubungan rapat dengan suku kaum Dusun. Seperti orang Dusun, nama orang Murut bukan diperoleh sendiri oleh masyarakat tersebut, tetapi diberikan oleh pendatang dari luar. Berbanding dengan orang Dusun, keadaan fizikal orang Murut adalah lebih kecil dan pendek. Barangkali kerana inilah ramai pengkaji beranggapan bahawa mereka ini berasal dari Annam, Ulu Burma atau Formosa. Namun, bukti ini tidak kukuh disebabkan hanya andaian dari pengkaji sahaja berdasarkan kepada bentuk fizikal orang Murut dan orang Dusun yang menyerupai bentuk fizikal Anam, Ulu Burma atau Formosa.
5.3          Mengikut Pollard dalam Ismail Yusoff (1997: 28)  istilah ‘Murut’ berasal dari akar kata ‘purut’ iaitu ‘berian’ atau ‘hantaran mas kahwin’. Ada juga pengkaji berpendapat istilah ini diperoleh dari ‘burut’ iaitu sejenis tumbuh-tumbuhan berubi yang digemari oleh orang Murut. Sebelum nama ini menjadi popular kaum Murut dikenali dengan berbagai nama yang dikaitkan dengan alam sekeliling di mana mereka berorentasi. Prentice dalam Ismail Yusoff (1997: 28)  misalnya menamakan mereka ini ‘hill people’ kerana mereka tinggal di bukit-bukau. Sementara Whelan dalam Ismail Yusoff (1997: 28)  pula menamakan mereka ‘man of wood’ kerana lokasi perkampungan mereka di hutan rimba.
5.4          Menurut Ismail Ibrahim dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 69), beliau mengasingkan kawasan petempatan masyarakat Murut mengikut subetnik kepada dua golongan iaitu Murut dataran tanah rendah dan Murut dataran tanah tinggi.  Murut dataran tanah rendah terdiri daripada Murut Nabai dan Murut Timugon yang mendiami tanah rata Keningau. Manakala Murut tanah tinggi pula adalah golongan yang terbesar mendiami kawasan tanah tinggi di Sabah. Golongan ini dipecahkan kepada beberapa kumpulan besar. Pertama, Murut Paluan tinggal di kawasan tanah tinggi berhampiran Sungai Padas di Tenom, berkembang ke Sungai Dalit di sempadan Sook dan berkembang ke barat berhampiran Sipitang. Kedua, Murut Dalit yang juga dipanggil “orang bukit” menduduki kawasan Dalit dan Sook dan berkembang di sepanjang Sungai Penawan. Ketiga, Murut Rundum yang menduduki kawasan persekitaran Sungai Tagul dan berkembang ke utara Rundum. Keempat, Murut Tahol yang berpindah dari persekitaran Sungai Tagul dan menduduki kawasan Bole, Kemabong, Tenom dan Tomani. Kelima, Murut Kolod di kawasan Bole. Keenam, Murut Sapulut menduduki kawasan tanah tinggi selatan Sook hingga ke Sungai Sepulut dan Murut Pensiangan (Lagungan) yang menduduki kawasan Sapulut, berkembang hingga ke sempadan dan tenggara Serudong dan Sungai Kalabakan. Sebenarnya Murut Sapulut adalah dikenali sebagai Murut Tagal.
5.5          Selain itu, menurut Cliff Akid Kamijan dalam majalah Dewan Bahasa (2006: 30) Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai rakyat pelbagai bangsa, budaya, agama dan kepercayaan. Menurut Owen Rutter dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) menjelaskan bahawa pengkategorian etnik yang utama di Sabah ialah tertumpu kepada kaum Dusun, Murut, Bajau, Iranun, Suluk, Bisaya dan Melayu Brunei. Setiap kumpulan etnik ini mempunyai adat resam, kebudayaan dan amalan kepercayaan yang berbeza-beza. Mereka terdiri daripada penduduk peribumi bukan Islam dan peribumi Islam. Kumpulan etnik Dusun, Murut dan Rungus kebanyakannya bukan beragama Islam. Setiap kumpulan etnik, khususnya Dusun dan Murut mempunyai subkumpulan etnik masing-masing. Manakala, kumpulan etnik Idahan, Bajau, Iranun, Sulu, Bisaya, Melayu-Brunei, Orang Sungai dan Tidong pada keseluruhannya beragama Islam. Walaubagaimanapun, terdapat penulis lain yang mengklasifikasikan masyarakat Murut kepada beberapa subetnik. Misalnya, Lita Lasimbung dan Stella Moo-Tan (1997: 45) telah membahagikan Murut kepada subkumpulan iaitu Baukan, Gana, Kalabakan, Okolod, Paluan, Selungai, Serudung, Tagal, Timugon, Murut Beaufort dan Murut Keningau. Mereka juga mengatakan bahawa pada tahun 1977, jumlah masyarakat Murut di Sabah dianggarkan sebanyak 40,000 orang.


6.0              KAEDAH KAJIAN
Kaedah kajian ialah kaedah penyelidikan perpustakaan. Penekanan akan diberikan kepada ketepatan penghuraian fakta dengan menggunakan sumber primer dan sumber sekunder. Pendekatan yang digunakan ialah membuat penerangan mengenai perkembangan yang berlaku dalam pengamalan adat tradisi dalam kalangan generasi awal dan generasi muda kaum Murut sekarang.
7.0              PEMBAHAGIAN STRUKTUR ESEI
7.1              Pengenalan
7.2              Sejarah Adat Tradisi Kaum Murut di Keningau, Sabah
7.3              Objektif pengamalan Adat Tradisi Kaum Murut di Keningau, Sabah
7.4              Kepentingan pengamalan adat tradisi Kaum Murut sejak turun-temurun.
7.5              Penutup
8.0              BIBILIOGRAFI
9.0              LAMPIRAN

13 ulasan:

  1. kebaikan dgn kburukan adat resam kaum murut ad tak?? klu ad, mohon jelaskan. terima kasih

    BalasPadam
  2. saya nak beritahu sebab saya orang murut. tentang adat "berian sampai mati" ini tak betul harap anda selami betul2 dan perhatikan ini sambil berfikir kenapa ia dikatakn sedemikian. disinilah masyarakat kaum lain berpandangan negatif terhadap kaum murut. semua kaum punya keunikan dan kelebihan tersendiri. kalau anda teliti dengan betul2. yang dimaksudkan dengan berian sampai mati ini juga adalah keunikan kaum murut sebenarnya. cuma masyarakat lain dan pemuda2 atau generasi kaum murut yang sekarang tidak memahami konsep ini. sebenarnya, menantu lelaki dalam masyarakat kaum murut ini tidak membayar berian seumur hidupnya kepada si mentua (bapa/ibu mertua) tetapi pemberian "barangan/wang" oleh si menantu kepada mentuanya ialah sebagai satu bantuan si menantu kepada mentuanya. maksudnya si menantu sudah menjadi ahli keluarga kepada bapa/ibu mertuanya oleh sebab itu ia harus membantu keluraga bila memerlukan bantuan. misalnya si mentua memerlukan untuk hantaran berian anak lelaki mentua si menantu Tajau Tiluan(barangan antik kaum murut sebagai hantaran mas khwin) dia akan meminta bantuan kepada si menantu, dan si menantu perluk bantu mentuanya untuk dapatkan barang tersebut. kalau si menantu tidak dapat beri barang yang diminta tersebut ianya tidak menimbulkan apa-apa masalah. tetapi si menantu boleh memberi sumbangan dalam bentuk yang lain, misalnya si menantu membantu si mentua dari segi kewangan. dalam hal ini juga tidak ada unsur paksaan supaya si menantu memberikan apa yang diminta oleh si mentua. yang menariknya dalam perkahwinan kaum murut ini tidak semsetinya bayaran berian itu "hantaran mas kahwin" harus ditunaikan sekaligus, tetapi ia boleh dibayar secara ansur-ansur mengikut kemampuan si menantu (lelaki). jadi ia boleh dilihat disana tiada unsur paksaan tetapi ia penuh dengan pertimbangan (bertimbang rasa terhadap menantu). itu sahajalah teguran dan penjelasan saya. harap benda ini tidak akan berlaku lagi. dan minta maaf meletakan komen tanpa kebenaran. cuma ingin memberitahu kebenaran cerita. jia perlu penejlasan lanjut boleh email saya. banyak lagi koleksi kajian persendirian saya dengan bapa saya. sekian mohon maaf andai terkasar bahasa.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  5. Bole minta bibiliografi atau sumber-sumber sorotan kajian lepas?

    BalasPadam
  6. Assalam dan Salam sejahtera..info yg baik berkenaan sejarah asal usul etnik Murut..Sdikit perkongsian jika boleh.Sy ada mdengar cerita orang orang lama di kawasan daerah Tawau mngatakan bahawa etnik Tidung adalah dari etnik Murut yang asal sekitar tahun 1000 masihi.Mohon info lanjut.tk

    BalasPadam
  7. Assalam dan Salam sejahtera..info yg baik berkenaan sejarah asal usul etnik Murut..Sdikit perkongsian jika boleh.Sy ada mdengar cerita orang orang lama di kawasan daerah Tawau mngatakan bahawa etnik Tidung adalah dari etnik Murut yang asal sekitar tahun 1000 masihi.Mohon info lanjut.tk

    BalasPadam
  8. Jika menurut cerita memang Murut dan Tidung asalnya dari satu kaum yg sama iaitu Murut. Tetapi perubahan zaman, faktor geografi dan pertembungan budaya dan bahasa dengan budaya dn bahasa luar maka perbezaan dari segi bahasa dn budaya tu semakin ketara. Walaupun sdh bnyk perbezaan tetapi pada masa kini masih lagi tdpt beberapa prsamaan dari segi bahasa dn budaya. Sebab Murut pada asalnya tidak disebut Murut sebagai nama bangsa. Tetapi sebelum kedatangan penjajah, Murut ini ada banyak nama. Sebelum saya bagitau nama2 suku subetnik Murut ini saya bagi dulu maksud "Ulun" iaitu ulun dalam bahasa Melayu adalah orang. Jadi berbalik kepada nama2 dibawah suku kaum Murut ini, panggilan untuk subetnik Murut pada masa dahulu ialah mengikut bentuk dan kedudukan geografi tempat tinggal, nama ketua puak/ ketua kampung, serta kampung mereka.
    Ni nama2 subetnik Murut yg selalu aki2 atau orang tua2 ceritakan.
    1. Ulun Nu Tirong@Tidong= orang yg tinggal di bukit tetapi bukan diatas bukit kebanyakannya di lereng bukit dan akar bukit.(Tidong/Tirong/Tidung/Tideng) sebutan berbza sebab perbezaan slang.

    2. Ulun Nu lotong (Orang yg tinggal dikawasan berhampiran dengan arus sungai yang tenang) Lotong= arus aliran sungai tenang dan tidak deras.

    3.Ulun Nu Palu( orang yg tinggal berhampiran dengan sungai yg berarus deras) palu- arus sungai yg deras seolah pebih kepada kwsan yg hampir dengan turunan aliran sungai).

    Note: paluan= merujuk kpd nama sejenis tumbuhan.

    4. ulun nu Hana/gana= orang yg tinggal dikawasan tanah rendah dn rata.

    4. Ulun nu olot= orang yg tinggal do puncak bukit (olot= puncak bukit).

    5. Ulun nu ra vuhus= orang yg tinggal di bawah ulu sungai.

    6. Ulun nu ra layoh/ ulun da layoh/ lun da yoh= orang yg tinggal di ulu sungai.

    Walaupun nama2 suku trsebut berbeza tapi mereka mempunyai persamaan budaya, adat resam atau amalan, dan bahasa. Dari segi bahasa mereka menuturkan bahasa yg sama walaupun nama suku mereka berbeza. Kerana mereka menuturkan bahasa yg sama maka mereka dipanggil dlm satu nama iaitu Murut.

    Ini menurut cerita lisan yg sy pernah dengar sendiri. Hanya tinggal dua orang yg masih hidup iaitu bapa saya dan pak cik saya. Cerita ini disampaikan melalui ampisaloh dan ampaloloi=berkumpul diruang tamu dn mendengar cerita tradisional.

    BalasPadam
    Balasan
    1. You are great describes about kaum murut..ccongratulation bro..onsoiii

      Padam
  9. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  10. Berian sampai mati yang selalu diuar-uarkan dalam masyarakat Murut adalah istilah yang menunjukkan bahawa Kaum Murut mempunyai peraturan mengenakan bayaran berian (Mas Kahwin) seumur hidup kepada sesebuah pasangan yang berkahwin dengan Kaum Murut.
    Istilah “BERIAN MATI” atau pemberian berbentuk barangan seumur hidup dalam kalangan Kaum Murut adalah TIDAK BENAR seperti yang diketahui umum.
    Istilah berian mati ini timbul apabila pihak ibu-bapa mentua seseorang itu datang membantu dalam melakukan apa-apa kerja anak menantu mereka seperti membersihkan ladang, membantu menjayakan majlis keramaian dan sebagainya.
    Maka pihak menantu wajar untuk meberikan imbuhan seperti memberi barangan atau wang ringgit kepada mereka. Pemberian barangan atau wang ringgit itulah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai berian mati dan bukannya meminta atau mengambil apa-apa barangan yang disukai apabila datang melawat ke rumah menantu.
    Selain itu, berian mati wujud apabila menantu lelaki tidak dapat melunaskan jumlah berian yang telah diminta semasa majlis perkahwinan. Baki bayaran berian ini akan dibayar secara beransur-ansur sehingga selesai seperti yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua belah pihak.
    Oleh itu, pihak lelaki akan mencari barangan yang diminta oleh pihak ibu-bapa perempuan sehingga berjaya mendapatkan barangan tersebut dan memberikannya kepada ibu-bapa perempuan.
    Adakalanya, memakan masa yang lama bahkan bertahun-tahun mencari barangan antik sebagai hantaran perkahwinan ekoran daripada kesukaran untuk mendapatkan barangan-barangan yang diminta oleh keluarga pihak perempuan tersebut seperti gong(tawak), manik-manik (bungkas), tajau lama (tiluan,binungkul), sumpitan (sapok), padang panjang (pisau sinunsur) dan lain-lain.
    Tanggapan yang salah terhadap ‘berian mati’ perlu diperbetulkan dalam masyarakat majmuk di Malaysia kerana istilah berian mati telah membawa kesan negatif kepada Kaum Murut.
    Ini telah menyebabkan kaum yang lain menganggap Kaum Murut sebagai kaum yang materialistik atau suka mengambil kesempatan atau peluang terhadap anak menentu mereka.
    Sebenarnya pemberian barangan atau saguhati daripada anak menantu kepada ibubapa mertua adalah tanpa paksaan. Pemberian ikhlas dari menantu adalah sebagai membalas budi baik atas bantuan menyiapkan kerja-kerja berat.
    Tiada masalah sekiranya anak menantu tidak memberi sebarang barangan kepada kedua ibu-bapa mertua mereka.emel sya untuk penjelasan lebih lanjut..sya org murut..saya lebih tahu dengan mendalam adat kami..mohon pengarang membuat kajian yg lebih mendalam...TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hy bole jadi respondan saya ka...sya berminat tahu lbh bnyk ttg murut

      Padam
  11. Ada tak sejarh terian lansaran suku kaum murut dan sjak
    bilaa trian itu adaaa

    BalasPadam