TAJUK : ADAT TRADISI
KAUM MURUT, DI KENINGAU ,SABAH
TAJUK KHUSUS : Sejarah
Adat Tradisi Kaum Murut
PENGENALAN
Kaum
Murut menetap di pedalaman dan kawasan tenggara Sabah dan merupakan kaum yang
ketiga terbesar di Sabah. Salah satu etnik yang ada di negeri Sabah adalah suku
kaum Murut yang kaya dengan budayanya. Mereka biasanya tinggal di daerah Tenom,
Pensiangan dan Keningau. Kaum Murut juga terbahagi kepada Murut Tahol atau
Tagol, Tidung, Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan, dan Murut
Serundung. Dimana Kaum Murut mewakili sebanyak 2.9% daripada penduduk di Sabah
iaitu lebih kurang 50,000 orang. Suku kaum Murut juga terdapat di Brunei,
Sarawak dan sempadan Kalimantan. Kaum Murut mempunyai bahasa tersendiri yang
berbeza dengan suku kaum Murut yang lain. Secara uniknya, kaum Murut tinggal di
rumah tradisi mereka iaitu rumah panjang dan hidup harmoni dalam keluarga yang
besar yang berhampiran dengan kawasan sungai. Mereka tinggal di dalam rumah
panjang yang menempatkan 10 hingga 20 keluarga. Suku kaum Murut juga dikenali
melalui budaya dan kesenian yang telah mereka warisi turun-temurun. Misalnya,
suku kaum Murut amat terkenal dengan motif dan pakaian tradisinya. Selain itu,
kaum Murut pakar dalam berburu dan masih mengamalkan tradisi bertatu seperti kaum
Iban di Sarawak tetapi tradisi ini semakin kurang di lakukan oleh generasi muda
suku kaum ini. Kebanyakan kaum Murut ialah petani, pemburu, dan penangkap ikan
di sungai. Selain itu , mereka juga menjalankan pemungutan hasil hutan seperti
rotan, damar dan madu lebah . Adat upacara perkahwinan bagi kaum Murut juga
sangat unik dan menjadi adat turun-temurun dalam perkahwinan iaitu adat ‘barian
sampai mati’. Selain daripada itu,
dahulu mereka mempercayai amalan anismisme iaitu setiap pokok, batu, sungai dan
bukit mempunyai roh sendiri. Kini, kebanyakan suku kaum Murut majoritinya
beragama kristian. Kaum Murut meraihkan Perayaan Pesta Kalimaran. Pesta
Kalimaran ialah pesta sama seperti kaum KadazanDusun yang menyambut Pesta
Kaamatan. Ia disambut selepas mereka menuai padi. Sehubungan itu, suku kaum
Murut juga terkenal dengan tarian tradisional iaitu Tarian Lansaran dan Tarian
Mangunatip.
2.0
OBJEKTIF
2.1 Tujuan utama penulisan dibentuk ialah untuk
mengetahui asal usul adat tradisi kaum Murut di Keningau, Sabah. Asal usul ini
dikaji kerana ingin mendedahkan kepada masyarakat bahawa adat tradisi ini amat
penting untuk dipelihara.
2.2 Selain itu, kajian ini juga dibuat untuk
mendedahkan adat tradisi kaum Murut yang ada dan masih diamalkan sehingga
sekarang. Antara adat tradisi yang masih diamalkan sehingga sekarang ialah
pakaian tradisional, tarian tradisional, perayaan dan adat perkahwinan.
2.3 Kajian ini dibuat bagi menyedarkan
masyarakat pada zaman sekarang tentang pentingnya memelihara adat tradisi yang
telah lama diamalkan sejak turun-temurun lagi. Ini bertujuan supaya semua
lapisan masyarakat dan generasi akan datang kaum Murut mengamalkan adat tradisi
walaupun kebanyakan kaum Murut masa kini telah menganut agama kristian.
3.0
PERMASALAHAN
KAJIAN
Penulis
berminat untuk mengetahui pengamalan adat tradisi kaum Murut di Keningau tetapi
pengamalan adat tradisi ini kurang diamalkan oleh kaum muda Murut sekarang.
Hanya terdapat segelintir daripada masyarakat Murut yang masih menerapkan adat
tradisi dalam keluarga mereka. Selain itu, maklumat mengenai adat tradisi kaum
Murut sukar diperolehi untuk dijadikan rujukan.
Permasalahan
kajian adalah berkisar mengenai pengutipan, pemilihan, penyusunan, sumber dan
penganalisaan bahan-bahan. Dari aspek pengumpulan sumber melalui laman
sesawang, bahan-bahan maklumat mengenai adat tradisi kaum Murut di Keningau
amat terhad.
Kerja-kerja
penyusunan dan penganalisaan dalam penulisan esei ini juga menimbulkan masalah.
Ini adalah disebabkan setiap perkara ini berkait rapat antara satu sama lain.
Penulis berharap esei ini dapat meenyumbangkan kepada kajian sejarah Malaysia.
4.0
SKOP
KAJIAN
Kajian
ini akan difokuskan kepada adat tradisi kaum Murut di Keningau, Sabah. Amalan
dan kehidupan yang diamalkan ini banyak memberi kesan kepada masyarakat muda
kaum Murut pada saat ini. Seterusnya, kita akan mendalami tentang perayaan yang
disambut oleh kaum Murut di Keningau. Selain itu, mengetahui cara pengendalian
adat perkahwinan tradisional sehingga moden oleh kaum Murut di Keningau. Kajian
ini juga dijalankan untuk mengetahui perbezaan antara pakaian tradisional
lelaki dan perempuan kaum Murut serta tarian tradisional kaum Murut. Bahkan,
kajian terakhir akan menyatakan berkenaan agama dan kepercayaan yang dianuti
oleh kaum Murut di Keningau dari dulu hingga sekarang.
5.0
SOROTAN
KAJIAN LEPAS
5.1 Kajian lepas yang digunakan oleh
penulis dapat memberi sedikit gambaran adat tradisi bagi suku kaum Murut. Menyentuh
sejarah kemunculan masyarakat Murut di Sabah, T.R. Williams dalam Mat Zin Mat
Kib (2005: 2) berpendapat kira-kira 15,000 hingga 20,000 tahun dahulu telah
berlaku penghijrahan penduduk dari bahagian selatan Negara China ke Asia
Tenggara dan kawasan-kawasan pesisirnya, termasuklah ke Pulau Borneo. Antara
mereka yang berpindah dari benua Asia ini (sejak tahun-tahun 1500 hingga 1000
S. M lagi) terdiri daripada kumpulan etnik yang pada hari ini disebut “Dusun”
dan “Murut”. Berdasarkan fakta inilah kelompok Dusun dan Murut dikatakan dua
kelompok yang paling awal berada di Sabah. Collins dalam Mat Zin Mat Kib (2005:
2) mengatakan bahawa kelompok ini secara umumnya disebut Melayu-Proto yang
mengamalkan bahasa rumpun Austronesia. Mereka terdapat di kawasan pedalaman
kerana pada tahun 1880-an dikatakan penduduk di bandar Sandakan, Lahat Datu,
Semporna dan Tawau tidak lagi terdiri daripada penduduk peribumi Sabah.
5.2 Manakala Headly dalam Ismail Yusoff
(1997: 28), mengatakan bahawa perkataan ‘Murut’ di Sabah merujuk kepada
kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di pedalaman
yang mempunyai hubungan rapat dengan suku kaum Dusun. Seperti orang Dusun, nama
orang Murut bukan diperoleh sendiri oleh masyarakat tersebut, tetapi diberikan
oleh pendatang dari luar. Berbanding dengan orang Dusun, keadaan fizikal orang
Murut adalah lebih kecil dan pendek. Barangkali kerana inilah ramai pengkaji
beranggapan bahawa mereka ini berasal dari Annam, Ulu Burma atau Formosa.
Namun, bukti ini tidak kukuh disebabkan hanya andaian dari pengkaji sahaja
berdasarkan kepada bentuk fizikal orang Murut dan orang Dusun yang menyerupai
bentuk fizikal Anam, Ulu Burma atau Formosa.
5.3 Mengikut Pollard dalam Ismail Yusoff
(1997: 28) istilah ‘Murut’ berasal dari akar kata
‘purut’ iaitu ‘berian’ atau ‘hantaran mas kahwin’. Ada
juga pengkaji berpendapat istilah ini diperoleh dari ‘burut’ iaitu
sejenis tumbuh-tumbuhan berubi yang digemari oleh orang Murut. Sebelum nama ini
menjadi popular kaum Murut dikenali dengan berbagai nama yang dikaitkan dengan
alam sekeliling di mana mereka berorentasi. Prentice dalam Ismail Yusoff (1997:
28) misalnya menamakan mereka ini ‘hill people’ kerana mereka tinggal di
bukit-bukau. Sementara Whelan dalam Ismail Yusoff (1997: 28) pula menamakan mereka ‘man of
wood’ kerana lokasi perkampungan mereka di hutan rimba.
5.4 Menurut
Ismail Ibrahim dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 69), beliau
mengasingkan kawasan petempatan masyarakat Murut mengikut subetnik kepada dua
golongan iaitu Murut dataran tanah rendah dan Murut dataran tanah tinggi. Murut dataran tanah rendah terdiri
daripada Murut Nabai dan Murut Timugon yang mendiami tanah rata Keningau.
Manakala Murut tanah tinggi pula adalah golongan yang terbesar mendiami kawasan
tanah tinggi di Sabah. Golongan ini dipecahkan kepada beberapa kumpulan besar.
Pertama, Murut Paluan tinggal di kawasan tanah tinggi berhampiran Sungai Padas
di Tenom, berkembang ke Sungai Dalit di sempadan Sook dan berkembang ke barat
berhampiran Sipitang. Kedua, Murut Dalit yang juga dipanggil “orang bukit”
menduduki kawasan Dalit dan Sook dan berkembang di sepanjang Sungai Penawan.
Ketiga, Murut Rundum yang menduduki kawasan persekitaran Sungai Tagul dan
berkembang ke utara Rundum. Keempat, Murut Tahol yang berpindah dari
persekitaran Sungai Tagul dan menduduki kawasan Bole, Kemabong, Tenom dan
Tomani. Kelima, Murut Kolod di kawasan Bole. Keenam, Murut Sapulut menduduki
kawasan tanah tinggi selatan Sook hingga ke Sungai Sepulut dan Murut Pensiangan
(Lagungan) yang menduduki kawasan Sapulut, berkembang hingga ke sempadan dan
tenggara Serudong dan Sungai Kalabakan. Sebenarnya Murut Sapulut adalah
dikenali sebagai Murut Tagal.
5.5 Selain
itu, menurut Cliff Akid Kamijan dalam majalah Dewan Bahasa (2006: 30) Malaysia sangat
beruntung kerana mempunyai rakyat pelbagai bangsa, budaya, agama dan
kepercayaan. Menurut Owen Rutter dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) menjelaskan
bahawa pengkategorian etnik yang utama di Sabah ialah tertumpu kepada kaum
Dusun, Murut, Bajau, Iranun, Suluk, Bisaya dan Melayu Brunei. Setiap kumpulan
etnik ini mempunyai adat resam, kebudayaan dan amalan kepercayaan yang
berbeza-beza. Mereka terdiri daripada penduduk peribumi bukan Islam dan
peribumi Islam. Kumpulan etnik Dusun, Murut dan Rungus kebanyakannya bukan
beragama Islam. Setiap kumpulan etnik, khususnya Dusun dan Murut mempunyai
subkumpulan etnik masing-masing. Manakala, kumpulan etnik Idahan, Bajau,
Iranun, Sulu, Bisaya, Melayu-Brunei, Orang Sungai dan Tidong pada keseluruhannya
beragama Islam. Walaubagaimanapun, terdapat penulis lain yang
mengklasifikasikan masyarakat Murut kepada beberapa subetnik. Misalnya, Lita
Lasimbung dan Stella Moo-Tan (1997: 45) telah membahagikan Murut kepada
subkumpulan iaitu Baukan, Gana, Kalabakan, Okolod, Paluan, Selungai, Serudung,
Tagal, Timugon, Murut Beaufort dan Murut Keningau. Mereka juga mengatakan
bahawa pada tahun 1977, jumlah masyarakat Murut di Sabah dianggarkan sebanyak
40,000 orang.
6.0
KAEDAH
KAJIAN
Kaedah
kajian ialah kaedah penyelidikan perpustakaan. Penekanan akan diberikan kepada
ketepatan penghuraian fakta dengan menggunakan sumber primer dan sumber
sekunder. Pendekatan yang digunakan ialah membuat penerangan mengenai perkembangan
yang berlaku dalam pengamalan adat tradisi dalam kalangan generasi awal dan
generasi muda kaum Murut sekarang.
7.0
PEMBAHAGIAN
STRUKTUR ESEI
7.1
Pengenalan
7.2
Sejarah Adat Tradisi
Kaum Murut di Keningau, Sabah
7.3
Objektif pengamalan
Adat Tradisi Kaum Murut di Keningau, Sabah
7.4
Kepentingan pengamalan
adat tradisi Kaum Murut sejak turun-temurun.
7.5
Penutup
8.0
BIBILIOGRAFI
9.0
LAMPIRAN