PENGENALAN
Kaum Murut menetap di pedalaman dan kawasan tenggara
Sabah dan merupakan kaum yang ketiga terbesar di Sabah. Salah satu etnik yang
ada di negeri Sabah adalah suku kaum Murut yang kaya dengan budayanya. Mereka
biasanya tinggal di daerah Tenom, Pensiangan dan Keningau. Kaum Murut juga
terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagol, Tidung, Timugon, Sembakung, Paluan,
Bookan, Kalabakan, dan Murut Serundung. Dimana Kaum Murut mewakili sebanyak
2.9% daripada penduduk di Sabah iaitu lebih kurang 50,000 orang. Suku kaum
Murut juga terdapat di Brunei, Sarawak dan sempadan Kalimantan. Kaum Murut
mempunyai bahasa tersendiri yang berbeza dengan suku kaum Murut yang lain.
Secara uniknya, kaum Murut tinggal di rumah tradisi mereka iaitu rumah panjang
dan hidup harmoni dalam keluarga yang besar yang berhampiran dengan kawasan
sungai. Mereka tinggal di dalam rumah panjang yang menempatkan 10 hingga 20
keluarga[1].
Suku kaum Murut juga dikenali melalui budaya dan kesenian yang telah mereka
warisi turun-temurun. Misalnya, suku kaum Murut amat terkenal dengan motif dan
pakaian tradisinya. Selain itu, kaum Murut pakar dalam berburu dan masih
mengamalkan tradisi bertatu seperti kaum Iban di Sarawak tetapi tradisi ini
semakin kurang di lakukan oleh generasi muda suku kaum ini. Kebanyakan kaum
Murut ialah petani, pemburu, dan penangkap ikan di sungai. Selain itu, mereka
juga menjalankan pemungutan hasil hutan seperti rotan, damar dan madu lebah .
Adat upacara perkahwinan bagi kaum Murut juga sangat unik dan menjadi adat
turun-temurun dalam perkahwinan iaitu adat ‘barian sampai mati’. Selain daripada itu, dahulu mereka
mempercayai amalan anismisme iaitu setiap pokok, batu, sungai dan bukit
mempunyai roh sendiri. Kini, kebanyakan suku kaum Murut majoritinya beragama
kristian. Kaum Murut meraihkan Perayaan Pesta Kalimaran. Pesta Kalimaran ialah
pesta sama seperti kaum KadazanDusun yang menyambut Pesta Kaamatan. Ia disambut
selepas mereka menuai padi. Sehubungan itu, suku kaum Murut juga terkenal
dengan tarian tradisional iaitu Tarian
Lansaran dan Tarian Mangunatip.
Menurut
rekod penjajah, bangsa Lun Bawang adalah bangsa asal Murut dan gunung Murut
yang terdapat di Sarawak adalah bukti bahawa bangsa Murut adalah berasal dari
suku Lun Bawang. Bahasa mereka hampir serupa dan budaya mengenakan pakaian
daripada kulit kayu dan tidak berseluar panjang menambahkan lagi keyakinan
bahawa bangsa Murut adalah juga berasal dari Lun Bawang. Selain itu, bangsa
Murut terdapat di Keningau, Tenom, Sook, Nabawan dan Pensiangan[2].
SEJARAH ADAT TRADISI KAUM
MURUT DI KENINGAU, SABAH
Agama dan Kepercayaan
Tradisi kaum Murut merupakan antara yang teristimewa
di Sabah dan amat terkenal. Kebanyakkan daripada orang-orang suku kaum ini
telah meninggalkan tradisi atau adat mereka kecuali segelintir daripada warga
tua sahaja.
Masyarakat Murut mempercayai animisme.
Mereka menggangap setiap benda dalam alam seperti batu, pokok, dan sungai
mempunyai semangat yang mampu mempengaruhi kehidupan mereka. Semangat ini perlu
dipuja supaya mereka dapat hidup dalam aman sejahtera. Gunung Antulai iaitu
Gunung Aru atau Gunung Hantu dianggap sebagai tempat suci.
Masyarakat Murut mempercayai Aki Kopuno sebagai
kuasa yang mencipta segala-gala dalam dunia ini. Bagi masyarakat Murut, bomoh
mereka boleh berhubung dengan kuasa ghaib yang dipanggil “Babalian”[3].
Adat Perkahwinan Kaum
Murut
Adat yang diwarisi daripada zaman
nenek moyang menjadi ikutan sehingga hari ini, misalnya adat perkahwinan, adat
kematian, adat “Tina’uh” dan adat “Barian Sampai Mati”. Adat “Barian Sampai
Mati” merupakan adat sangat popular dan sinonim dengan masyarakat Murut Tagal
di negeri Sabah. Adat ini diamalkan oleh Murut Tagol di kawasan pedalaman Sabah
khususnya di Daerah Pensiangan, Daerah Keningau, Daerah Sepulut dan Daerah
Nabawan.
Dalam pengertian adat “Barian Sampai
Mati” ialah Barian atau dalam bahasa Melayu “Mas Kahwin” dan dalam bahasa
Inggeris “Dowry”. Barian ialah nama yang diberi oleh masyarakat Murut bagi
menunjukkan mas kahwin ataupun barang-barang hantaran daripada keluarga pihak
lelaki kepada keluarga pihak perempuan semasa perkahwinan berlangsung. Oleh
demikian, “Barian Sampai Mati” bermaksud mas kahwin atau barang-barang hantaran
yang dituntut atau diminta oleh keluarga pihak perempuan daripada keluarga
pihak lelaki bermula dari perkahwinan sehingga ke akhir hayat.
Adat “Barian Sampai Mati” sudah lama
diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi oleh masyarakat Murut di Sabah. Apabila
gadis Murut dikahwini oleh lelak pilihan keluarga atau pilihan sendiri, barian
akan terus ditagih oleh keluarga pihak perempuan sehingga ke akhir hayat.
Meskipun sudah beranak pinak dan umur sudah menjangkau 30 hingga 90 tahun,
tetapi keluarga pihak perempuan masih meminta barian daripada pihak lelaki.
Masyarakat Dusun dan masyarakat lain di Sabah mengatakan bahawa gadis Murut
yang dikahwini memiliki barian atau hantaran mas kahwin yang sangat mahal
berbanding suku kaum lain di Malaysia.
Adat “Barian Sampai Mati” dapat
dilihat apabila keluarga sebelah pihak perempuan menghadapi masalah seperti ada
kematian, saudara mara berkahwin, menghadiri perkahwinan dan menghadiri
“Tinauh”. Keluarga sebelah pihak lelaki mahupun suami gadis yang dikahwini
turut dilibatkan sama dalam kesusahan tersebut. Pihak suami mesti mambantu
keluarga sebelah pihak perempuan dengan memberi mana-mana barang seperti tajau,
kain sarung, emas, gong, kain nila, sisitan, duit dan sebagainya untuk diberi
kepada keluarga pihak perempuan yang meminta bantuan. Selain ibubapa perempuan
yang dikahwini meminta pertolongan, keluarga yang lain juga turut melakukan hal
yang sama kepada pihak lelaki. Adat ini amat membebankan masyarakat Murut
tetapi memandangkan adat ini sudah lama diamalkan, maka adat ini terus menjadi
amalan tradisi masyarakat Murut.
Seterusnya, “Barian Sampai Mati”
juga dapat dilihat apabila keluarga pihak perempuan pergi mengunjungi rumah
pihak lelaki selepas kahwin, keluarga pihak perempuan akan meminta apa saja
yang disukai dan dijumpai oleh mata mereka dalam rumah menantu lelaki. Pada
masa itu juga, keluarga pihak perempuan akan terus mengambil benda atau barang
tersebut, misalnya televisyen, peti sejuk, tajau, gong, kain sarung, emas,
basikal dan apa sahaja yang ditemui ketika berada di rumah pihak lelaki. Pihak
lelaki pula tidak berbuat apa-apa dan membenarkan saja permintaan keluarga pihak
perempuan sebagai tanda hormat kepada bapa dan mak mertuanya.
Untuk memiliki gadis Murut, pihak
lelaki terpaksa menanggung beberapa risiko tinggi untuk memenuhi tuntutan
barian daripada keluarga pihak perempuan. Keluarga pihak perempuan berhak
menuntut barian apa-apa sahaja pada bila-bila masa. Pihak lelaki pula terpaksa
menurut permintaan daripada keluarga perempuan untuk menjaga maruah keluarga.
Berikut merupakan beberapa cara pihak perempuan menuntut barian daripada pihak
lelaki[4].
Kini, adat “Barian Sampai Mati”
dalam suku Kaum Murut Tagol atau Tahol tidak diamalkan lagi sehingga sekarang[5].
Pakaian Tradisional
Kaum Murut
Penggunaan pakaian tradisional kaum
Murut boleh dilihat dari dua sudut zaman iaitu zaman klasik dan zaman moden. Di
zaman klasik, pakaian-pakaian tradisional ini dipakai semasa upacara-upacara
ritual, hari perkahwinan dan sebagai pakaian seharian. Di zaman moden pula,
pakaian-pakaian tradisional ini hanya dipakai untuk tujuan yang tertentu
seperti di hari perkahwinan serta untuk acara-acara kebudayaan. Selain daripada
itu, kadangkala juga pakaian tradisional boleh dipakai pengapit pengantin.
Sehubungan itu, kebanyakan suku kaum
di Sabah memilih hitam sebagai warna pakaian tradisional mereka. Penggunaan
warna hitam asalnya daripada kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang
kekuasaan atau warna ketuhanan yang mana dapat melindungi si pemakai daripada
makhluk-makhluk halus yang jahat. Ada juga sesetengah pihak mengatakan bahawa
penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan
semulajadi di waktu itu. Manakala, bagi kaum lelaki pula, pakaiannya lebih
kepada kulit kayu[6].
Pakaian tradisional kaum Murut bagi lelaki ialah
dikenali dengan pakaian puputul yang diperbuat daripada kulit kayu. Babaru
puputul dipotong mengikut kepanjangan fesyen jaket. Aba puputul pula, cawat
sepanjang dua meter diperbuat daripada isi kayu. Tupi sinulatan ialah perhiasan
kepala yang diperbuat daripada kulit kayu[7].
Pakaian Tradisional Kaum Murut.
Pakaian Tradisional Kaum Murut.
Manakala, pakaian tradisional kaum Murut bagi
perempuan ialah pakaian mereka lebih terkenal dengan pakaian pinongkolo iaitu
baju dan gaun yang panjang berwarna hitam yang dihiasi dengan manik-manik.
Antara contoh lain bagi pakaian wanita untuk kaum Murut ialah pipirot, salupai,
sinikot, rarangkol dan holong[8].
Pakaian tradisional kaum Murut bagi perempuan
Pakaian tradisional kaum Murut bagi perempuan
Tarian Tradisional Kaum
Murut
Masyarakat kaum Murut juga terkenal
dengan “Tarian Lansaran” dan “Tarian Mangunatip” yang penuh tenaga. Kebanyakan
upacara keramaian, tarian-tarian ini lazim ditarikan kerana muziknya rancak
serta bersimbolik. Semasa pesta menuai diadakan, penari-penari kaum Murut ini
akan membuat persembahan di Bandar-bandar sehingga menjadi suatu daya tarikan
kepada para pelancong dalam dan luar Negara. Walaupun terdapat sedikit sebanyak
unsur tarian ini telah diubah namun makna serta gaya tariannya masih tidak
terjejas. Tarian Mangunatip misalnya mempamerkan unsur kegagahan yang ada dalam
kaum Murut serta bertujuan untuk memujuk roh-roh nenek moyang mereka agar dapat
menjaga mereka. Penari-penari tarian ini menyelitkan gugusan padi yang sudah
dituai dan juga kepala mangsa pada pinggang mereka.
Gaya tarian Mangunatip ini amat unik
serta mempesonakan dimana lelaki yang memegang parang akan melompat ke atas
bambu yang disusun selang-seli oleh penari-penari lelaki lain. Selepas itu,
penari yang berada di atas itu akan dianggap sebagai seorang pemburu yang
menggunakan penyumpit iaitu buluh yang dimasukkan sejenis sumpit untuk
memecahkan belon yang disediakan. Alunan muzik daripada gendang kulit serta
somputon akan mengawal rentak tarian ini[9].
Di samping itu, Tarian Mangunatip
ini mempunyai keunikan tersendiri. Melalui nama tarian ini sudah menampakkan
keunikan kerana mengekalkan identity suku kaum Murut. Perkataan “Mangunatip”
diambil dalam bahasa Murut iaitu “apit” yang bermaksud “sepit” kerana tarian
ini menggunakan buluh dan para penari memerlukan kepantasan dan kecekapan
ketika menari.
Oleh itu, setiap gerakan dalam
sesuatu tarian mempunyai maksud tersirat. Tarian Mangunatip juga mempunyai
makna disebalik sesuatu gerakan. Tarian yang lemah-gemalai membawa maksud
kesopanan wanita dan pihak lelaki sebagai pelindung kepada wanita dalam
kehidupan. Hal ini dapat dilihat ketika penari lelaki memegang parang dan
perisai yang melambangkan sifat kepahlawanan kaum Murut sambil matanya liar
berwaspada dan seolah-olah sedang bertarung dengan musuh. Ketika melalui buluh
pula, penari lelaki dan wanita akan berpasang-pasangan sambil berpegangan
tangan menari melalui buluh tersebut. Hal ini menerangkan bahawa walau apa jua
cabaran dan rintangan yang melanda, kedua-dua pasangan khasnya dalam institusi
perkahwinan, kedua-dua pihak hendaklah berganding bahu menyelesaikan masalah
dalam rumahtangga[10].
Tarian Lansaran pula merupakan
tarian yang agak bertenaga dan memenatkan. Tarian ini diadakan untuk tujuan
menyambut hasil padi yang baik, perkahwinan dan sebagai menyambut tetamu. Biasanya
tarian Lansaran ditarikan sehingga dua hari lamanya secara beramai-ramai tidak
kira tua atau muda. Para penari akan memijak lantai seolah-olah berspring
seperti pada rajah dan selepas itu akan mempunyai rentak tersendiri. Tarian ini
dapat mengeratkan perhubungan di antara kaum keluarga serta sahabat di samping
menjadi suatu daya tarikan pelancong.
Di samping itu, tarian lansaran ini
juga boleh menjadi salah satu permainan tradisional bagi suku kaum Murut[11].
Tarian Lansaran kaum Murut
Tarian Lansaran kaum Murut
Adat Kematian Kaum
Murut
Adat kematian dalam
masyarakat Murut, mereka akan mengebumikan mayat. Mereka akan melakukan
mengebumikan mayat bergantung kepada punca kematian seseorang itu. Sesuatu kes
kematian perlu diuruskan dengan tertib dan baik dengan mengikuti adat-adat
tertentu. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang
bencana atau musibah. Terdapat tiga proses dalam pengebumian mayat dalam kaum
Murut iaitu semasa kematian, pengebumian, dan selepas pengebumian. Semasa
kematian, ahli keluarga si mati akan memukul gong dan ketika gong dipukul,
semua penduduk perlu berhenti daripada melakukan aktiviti masing-masing. Jika
terdapat penduduk tidak berhenti daripada melakukan pekerjaan semasa gong
dipukulkan, seluruh penduduk akan didenda iaitu memberi seekor khinzir kepada
ahli keluarga si mati. Selepas itu, mayat akan dimandikan dan setelah itu mayat
akan dipakaikan dengan pakaian yang cantik serta bersih. Mayat akan berada di
rumah selama dua hari sebelum dimasukkan ke dalam tajau iaitu bangkalan kaum
Murut. Tajau akan ditutup dengan kayu dan di atasnya diletakkan lampu kecil
bagi menakutkan hantu syaitan. Pada hari kedua, tajau akan dibawa keluar dari
bilik tepat pukul 12.00 tengah malam dan ketika ini ahli keluarga akan bertangis-tangisan
sambil mengelilingi tajau tersebut. Pada hari ketiga, kaum lelaki akan pergi ke
tanah perkuburan untuk membaiki rumah perkuburan sekiranya terdapat kerosakkan.
Pada malam keempat, mereka akan bersuka ria sebagai menghormati malam terakhir
si mati berada dirumah. Keesokan harinya, tajau mayat akan diusung dengan
menggunakan usungan kayu ke tanah perkuburan. Ketika ini, ahli keluarga
perempuan si mati akan menangis kerana mereka percaya akan roh si mati akan
selamat ke syurga dan bertujuan mengucap selamat jalan. Proses yang kedua iaitu
semasa pengebumian gong akan dibunyikan sepanjang jalan tajau dihantar ke tapak
pengebumian dan tajau tersebut akan dihias dengan manik-manik beraneka warna
dan dipaku dengan kayu yang berukir. Ketika ini mereka akan meraikan majlis
makan-makan. Seterusnya proses yang terakhir iaitu selepas pengebumian, ahli
keluarga akan meletakkan tiga potongan bara setelah empat hari tajau di tanah
perkuburan. Bara-bara tersebut akan dikawal apinya oleh keluarga si mati,
supaya roh si mati tidak dapat meniup api tersebut kerana mereka percaya
sekiranya si mati dapat meniup api sehingga menyala kemungkinan rumah tersebut
ditimpa bencana. Adat tolak bala akan diadakan bagi menandakan pantang larang
adat kematian sudah selesai[12].
Tambahan pula, adat
kematian Murut sudah tidak diamalkan pada zaman moden sekarang[13]. Pada zaman dulu, adat
kematian suku kaum Murut akan berkabung selama sebulan dengan memakai baju
hitam bagi keluarga atau saudara-saudara terdekat si mati[14]. Pada zaman sekarang,
pemakaian baju hitam tidak diamalkan lagi malah kain digunting kecil dan diletakkan
pada lengan kiri. Di samping itu, responden mengatakan bahawa keluarga si mati
dan orang-orang kampung tidak boleh berhibur seperti menyanyi, menari dan
sebagainya untuk menghormati keluarga si mati tetapi boleh mengadakan majlis
perkahwinan tanpa hiburan. Selepas berkabung selama sebulan, kain hitam itu
akan dibakar diikuti pukulan gong sebanyak tiga kali menandakan pantang larang
sudah berakhir[15].
Selain itu, responden
juga mengatakan bahawa adat kematian suku kaum Murut sekiranya berlaku kematian
si suami atau si isteri. Contohnya, jika si suami meninggal si isteri akan di
masukkan ke dalam bilik, sepanjang keluarga yang lain menguruskan pengebumian
mendiang. Kaum Murut memanggilnya “Nampalang” tujuannya adalah mengelak
daripada bala kepada orang lain. Dalam perkabungan si balu akan berlanjutan
selama satu hari dan satu malam. Dalam pantang larang tersebut orang yang sudah
berkahwin tidak sama sekali dibenarkan mengunjungi si balu selama tempoh itu. Tujuan
pantang larang tersebut adalah untuk mengelak bala supaya orang yang masih
mempunyai pasangan hidup tidak mengikut seperti si balu. Sepanjang pantang
larang tersebut hanya anak perempuan yang belum berkahwin ,begitu juga
sebaliknya hanya dibenarkan masuk ke dalam bilik melayan si balu seperti
memberi makan dan minum. Selepas acara pengebumian mendiang, si balu pula tidak
boleh keluar rumah atau mengunjungi rumah jiran selama sebulan, hanya keluarga
terdekat yang dibenarkan mengunjungi si balu untuk memberi keperluan harian
seperti beras dan sebagainya[16].
Perayaan Tradisional
Kaum Murut
Hari Pesta Menuai dalam bahasa Murut
ialah “Orou Napangaan Nanantab”. Walau bagaimanapun, nama sebenar perayaan
selepas menuai bagi suku kaum Murut adalah “Mansisia”. Sebelum perayaan
tersebut, setiap keluarga menyumbangkan beras hasil dari titik peluh mereka
kepada Ketua Masyarakat iaitu penghulu untuk dimasak sama ada dibuat tapai atau
nasi. Mereka juga menyumbangkan wang untuk membeli lauk-pauk semasa perayaan.
Apabila hari Mansisia menjelang, semua penduduk kampung akan menghadiri jamuan
makan dan minum di Tulus iaitu rumah panjang atau di rumah Penghulu jika
kampung berkenaan tidak mempunyai “Tulus”.
Acara rasmi dalam perayaan tersebut
adalah minum tapai yang dipanggil “Pansisiaan”. Semua penduduk kampung
dikehendaki minum tapai tersebut sebagai adat tradisi. Dalam perayaan Mansisia
semua penduduk kampung dapat menikmati hasil tuaian setiap keluarga
memandangkan beras yang disumbangkan sebelumnya dicampur-gaulkan sebelum
dimasak.
Tujuan perayaan Mansisia ini adalah
sebagai hari kesyukuran dan bersukaria. Hari tersebut juga dianggap sebagai hari
Kelepasan Am bagi para petani. Biasanya perayaan tersebut dilengkapi dengan
beberapa acara yang menarik seperti persembahan kebudayaan, minum tapai dan
bermacam-macam lagi yang sesuai dengan suasana sambutan perayaan “Mansisia”[17].
Disamping itu, responden mengatakan
perayaan tradisi suku kaum Murut iaitu “Orou Napangaan Nanantab” hampir sama
dengan perayaan tradisi suku kaum Kadazan Dusun iaitu “Pesta Kaamatan”[18].
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, masyarakat Murut Sabah adalah
masyarakat yang mempunyai cara hidup dan tradisi yang agak istimewa. Cara hidup
mereka adalah amat menarik sekali untuk diungkapkan dan diceritakan. Kehidupan
masyarakat Murut jika dilihat dari aspek sosial, ekonomi dan politik
sesungguhnya amatlah berbeza dengan kaum-kaum lain di Malaysia ini.
Walaubagaimanapun, pada masa kini, adat dan tradisi
masyarakat Murut banyak juga yang telah ditinggalkan. Antaranya adat-adat yang
menjurus kepada animisme, kepercayaan karut, dan adat-adat yang difikirkan
tidak logik untuk diamalkan pada masa sekarang. Hal ini memandangkan masyarakat
pada zaman sekarang sudah maju dan pemikiran masyarakat pun berubah ke arah
yang lebih moden. Tambahan pula, sudah ramai golongan cerdik pandai dalam
kalangan masyarakat Murut yang membawa budaya dan cara hidup masyarakat bandar
dan menerapkannya dalam kalangan masyarakat Murut.
[2] Besi_karusani,
“Asal-usul Murut”, hlm 1, Aug 18, 2010, http://sabahminda-kitani.forumotion.net/t23-asal-usul-murut
[3] Lee Sin Lian dan
Aleeya Atiqah Ammar, Sejarah PMR (Johor Bharu: Pelangi, 2006), 118.
[4] Lianah binti Sikana, “Barian Sampai Mati Masyarakat Murut Tagal Daerah Sepulut, Sabah”, hlm
1, July 30, 2009,
[5] Betty Binti Juki
(penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah), ditemuramah oleh Shantyanna Fabian, Januari
2013
[6]Rachel Angelica, “Pakaian
Tradisional Sabah (Suku Kaum Murut)”, hlm 1, Aug 22, 2008, http://misspinkk89.blogspot.com/2008/08/pakaiana-tradisional-sabah-suku-kaum.html
[7]Bm_ko3, “Pakaian
Tradisional Kaum Murut”, hlm 1, Aug 21, 2010, http://budayapakaiandimalaysia.blogspot.com/2010/08/srchttph1_21.html
[8] ibid
[9] Tairin bin Juki
(penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah), ditemuramah oleh Shantyanna
Fabian, Januari 2013
[10] Miyoko,
“Keunikan Tarian Mangunatip Tarian Suku Kaum Murut”, perenggan 1 dan 5, April
23, 2010, http://ruandupangkausan.blogspot.com/2010/04/keunikan-tarian-mangunatip-tarian-suku.html
[11] Bangak binti Tawas
(penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah), interview by Shantyanna Fabian,
Februari 2013
[12] Jelajah Edisi Daus
Di, “Adat dan Budaya Etnik Di Malaysia (Kaum Murut)”, perenggan 4, September
17, 2010, http://bmpengurusan2010.blogspot.com/2010/09/kaum-murut.html
[13] Juki bin Okoh
(penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah), interview by Shantyanna Fabian,
February 2013.
[14] Fabian bin Jacob
(penduduk kampung Liau Laut di Keningau, Sabah), interview by Shantyanna
Fabian, February 2013
[15] Aminah binti
Anturadik (penduduk kampung Liau Laut di Keningau, Sabah), interview by
Shantyanna Fabian, January 2013
[16] Jailin binti Juki
(penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah),
interview by Shantyanna Fabian, January 2013
[17] Bangak binti Tawas
(penduduk kampung Mailu di Keningau, Sabah), ditemuramah oleh Shantyanna
Fabian, Februari 2013
[18] Jacob bin Kimbal
(penduduk kampung Liau Laut di Keningau, Sabah), ditemuramah oleh Shantyanna
Fabian, Februari 2013.
Tahniah, Saya suka kajian anda. Mahu tanya, ni Murut apa?...
BalasPadamUhmm... Tradisi Murut Bookan pun mmg sama ka dgn tradisi2 Murut yg lain...?
BalasPadamTidak sama cara. Tapi berkaitan adat berian sampai mati tidak wujud. Ini hanya diwujudkan oleh penulis yg tidak faham konsep adat kamurutan.
Padamistialah berian mati asalah salah tafsiran...jika penulis ni org murut..kamu sngat memalukan sb xtw n fhm adat sndri..jika kamu bkn Murut..maka kamu telah merosakkan fahaman org ttg berian mati...sy sbgai murut x pnah nmpk org murut membayar berian smpai dia mati..
BalasPadamistilah berian mati bermula apabila pihak perempuan minta itu ini n terdpt penulis publisiti murahan spt anda yg x fhm btul apa itu PULUT@ berian..pulut yg sdah d tentukan akan d bayar scra ansur2 shingga slesai n bknnya smpai mati..responden anda mkin xtw cra menerangkan anda,atw anda cuma skdar ambil tahu n mw menulis tnpa memamahi apa 2 Pulut...artikel anda gagal n memalukan org Murut..jika anda tnggl dgn org murut maka anda akan fhm apa 2 berian@Pulut...
istialah berian mati asalah salah tafsiran...jika penulis ni org murut..kamu sngat memalukan sb xtw n fhm adat sndri..jika kamu bkn Murut..maka kamu telah merosakkan fahaman org ttg berian mati...sy sbgai murut x pnah nmpk org murut membayar berian smpai dia mati..
BalasPadamistilah berian mati bermula apabila pihak perempuan minta itu ini n terdpt penulis publisiti murahan spt anda yg x fhm btul apa itu PULUT@ berian..pulut yg sdah d tentukan akan d bayar scra ansur2 shingga slesai n bknnya smpai mati..responden anda mkin xtw cra menerangkan anda,atw anda cuma skdar ambil tahu n mw menulis tnpa memamahi apa 2 Pulut...artikel anda gagal n memalukan org Murut..jika anda tnggl dgn org murut maka anda akan fhm apa 2 berian@Pulut...
Saya setuju dengan kau. Perkataan BERIAN SAMPAI MATI tidak wujud. Kenyataan ini diwujudkn oleh penulis yg tidak memahami konsep adat Murut
Padamada sesiapa simpan gambar kaamatan 1999 di nabawan?
BalasPadam